Sabtu, 17 April 2010

Dengki, dendam senjata syaitan rosakkan ummah





Sikap kasar, keras kepala serta berhati batu penghalang utama perasaan saling bermaafan.

AL-IMAM Al-Ghazali berpandangan bahawa iman yang sempurna adalah menyucikan hati daripada sifat keji dan menanamkan segala sifat terpuji. Hati yang bersih akan melahirkan perlakuan yang baik dan selamat pada landasan yang betul dalam amalan agama.

Orang berhati bersih akan turut menjaga mulut, lidah serta perlakuannya supaya tidak melampaui batas dibenarkan agama. Hati yang sihat dan bersih mengikut tapisan agama akan menampilkan akhlak terpuji sementara hati yang kotor melahirkan keperibadian buruk dan merosakkan.

Dalam satu pengajian di masjid, Rasulullah SAW ada mengkhabarkan kehadiran seorang calon penghuni syurga di tengah mereka. Orang itu tidak dikenali oleh sahabat, bahkan namanya tidak popular sebagai seorang tokoh ibadat.

Sahabat berasa cemburu dengan keistimewaan yang ada pada diri orang itu selepas Rasulullah SAW mengesahkan dirinya sebagai calon penghuni syurga. Salah seorang sahabat, Abdullah bin Amr, bertekad memantau dari dekat orang berkenaan untuk mengetahui apa keistimewaannya.

Abdullah lalu meminta izin untuk bertamu di rumah orang itu selama tiga hari. Ketika menjadi tetamu, Abdullah melihat secara langsung bentuk amalan tuan rumah, gerak gerinya, tutur katanya dan cara ibadahnya.

Hampir-hampir beliau tidak tidur kerana ditakuti jika ada amalan tuan rumah yang tidak dapat disaksikannya. Namun, Abdullah tidak mendapati apa-apa amalan yang istimewa berbanding sahabat lain. Amalannya biasa-biasa saja seperti diajarkan Rasulullah SAW.

Sebelum pulang, Abdullah pun bertanya secara terus akan amalan istimewa tuan rumah untuk dilakukannya. Jawabnya: "Tidak ada, selain yang engkau sudah lihat. Aku belum pernah melakukan kepalsuan terhadap siapa pun daripada kalangan umat Islam. Dan aku tidak pernah hasad (iri hati) kepada seseorang yang dianugerahi (nikmat) oleh Allah. Abdullah berkata: Itulah (sebenarnya) yang dapat meningkatkan darjatmu."

Jelas perasaan dengki, dendam, marah dan perlakuan buruk kepada sesama Muslim adalah satu senjata pemusnah yang digunakan syaitan untuk memporak-perandakan hidup manusia. Lalu dibisikkan ke telinga manusia untuk menyemarakkan api kemarahan dan mendorong dendam.

Perlakuan buruk itu akan menghindari kita daripada berusaha meningkatkan ukhuwwah dan persaudaraan, apa lagi untuk saling bermaafan sesama kita. Sikap ini pasti menjauhi lagi hubungan silaturahim yang dituntut agama.

Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya perbuatan berbisik (dengan kejahatan) itu adalah daripada (hasutan) syaitan, untuk menjadikan orang beriman berduka cita; sedang bisikan itu tidak akan dapat membahayakan mereka sedikitpun melainkan dengan izin Allah; dan kepada Allah jugalah hendaknya orang beriman berserah diri." (Surah Al-Mujadalah, ayat 58)

Justeru, penting bagi kita untuk mengawal perasaan dendam dan marah supaya terbuka pintu kemaafan di hati kita terhadap kesalahan yang dilakukan oleh pihak lain. Sikap mengawal marah ini dititikberatkan Rasulullah SAW apabila seorang sahabat meminta nasihat.

Baginda bersabda yang bermaksud: "Jangan marah. Kemudian orang itu mengulangi permintaannya untuk mendapatkan nasihat. Sekali lagi Baginda SAW menjawab: Jangan Marah." (Hadis riwayat Bukhari)

Allah juga akan memberi ganjaran besar bagi mereka yang mampu mengawal perasaan marah. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Siapa yang menahan perasaan marah sedangkan dia mampu untuk melaksanakannya (melepaskan kemarahannya), maka kelak pada hari kiamat, Allah akan memanggilnya di hadapan sekalian makhluk, kemudian disuruhnya memilih bidadari sekehendaknya." (Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan